Recent Posts

Wednesday, October 22, 2008

ORGANISASI KURIKULUM

Kurikulum Pendidikan Seni Visual disusun berdasarkan dua bidang iaitu
Bidang Penghasilan Seni Visual serta Sejarah dan Apresiasi Seni Visual.
Kedua-dua bahagian ini diharapkan dapat membantu murid dalam menguasai
pelbagai kemahiran. Antara kemahiran yang akan dikuasai murid melalui
pendidikan seni visual ialah kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif,
kemahiran berkomunikasi secara berkesan, kemahiran membuat pilihan dan
keputusan yang tepat, kemahiran mencari, menginterpretasi dan
mengaplikasi maklumat, kemahiran bekerjasama dan kemahiran
pengurusan.
Bagi membolehkan murid menguasai kemahiran-kemahiran ini guru perlu
mengintegrasikan kedua-dua bidang ini dalam pengajaran dan
pembelajaran. Dalam penghasilan seni visual, kegiatan harus melibatkan
penerokaan, pewujudan idea, perkembangan idea, pembelajaran secara
terancang, penggunaan teknologi, alat dan bahan melalui teknik tertentu.
Semua kegiatan seni mengutamakan kajian-kajian sebelum, semasa dan
selepas proses penghasilan. Ini bertujuan menerapkan budaya penyelidikan
di kalangan murid.
Kedua-dua bidang ini menjurus kepada matlamat Pendidikan Seni Visual
dan juga matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Tujuannya adalah
untuk pembinaan individu, keluarga, masyarakat dan negara. Pengajaran
dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual dijalankan dalam bentuk teori
dan praktikal tetapi pendekatannya bergantung kepada kebijaksanaan guru
untuk mengendalikannya asalkan meliputi tiga domain iaitu, pengetahuan,
kemahiran dan nilai.
Perkara yang ditegaskan dalam bidang penghasilan seni visual adalah
kegiatan kreatif yang melibatkan benda-benda yang dapat disentuh, dilihat
dan diimaginasi bagi menggalakkan perkembangan persepsi dan daya intuisi.
Dengan ini diharapkan fahaman nyata dan abstrak dapat diselaraskan dan
pemupukan minat terhadap Pendidikan Seni Visual dapat dikembangkan.
Bidang Sejarah dan Apresiasi Seni Visual memberi tumpuan kepada
pengalaman seni dalam kehidupan harian dan dalam budaya kebangsaan.
Perbandingan dengan seni dan budaya luar juga digalakkan bagi
memperlihatkan keseimbangan pendedahan dalam bidang seni visual
termasuk kraf kebangsaan demi mengenali seni visual dalam evolusi budaya
kebangsaan.

0 comments: