Recent Posts

Wednesday, October 22, 2008

PENDIDIKAN SENI VISUAL SEKOLAH MENENGAH

PENDAHULUAN
Pendidikan Seni Visual menjurus kepada seni tampak dan tidak merujuk
kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni
mempertahankan diri.
Pendidikan Seni Visual sekolah menengah lebih menegaskan kegiatan
dalam proses penghasilan dengan melibatkan aspek pemahaman,
penghayatan dan kritikan. Proses ini menyentuh perasaan estetik dan daya
kreativiti individu melalui penajaman daya intuisi, persepsi, imaginasi dan
konsepsi murid. Dengan ini, murid diharapkan dapat mengamalkan
pertimbangan seni visual, meningkatkan lagi kepekaan, menjadi pengkarya
yang rasional dan mampu mengendalikan kehidupan dengan membawa
bersama nilai yang disebutkan.
Kurikulum Pendidikan Seni Visual sekolah menengah merangkumi perkara
yang berkait dengan seni halus, komunikasi visual, reka bentuk dan kraf
tradisional. Murid dilatih untuk melihat sesuatu dengan perspektif yang lebih
luas sama ada daripada aspek estetik mahupun aspek gunaan. Melalui
kefahaman aspek di atas, murid dapat diterapkan dengan penghayatan
warisan seni visual dan mengamalkannya dalam kehidupan, terutama dalam
meningkatkan nilai hidup. Murid akan didedahkan dengan ilmu seni visual
yang berkaitan dengan bidang tertentu dan menerapkan budaya menghargai
serta mengaplikasi ilmu yang diperolehi bersama.

MATLAMAT
Pendidikan Seni Visual sekolah menengah adalah untuk membentuk
keperibadian generasi Malaysia yang celik budaya, mempunyai nilai-nilai
estetik yang tinggi, imaginatif, kritis, kreatif, inovatif dan inventif. Kandungan
kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran
terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni
dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri,
keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah
Pendidikan Kebangsaaan.

OBJEKTIF
Pendidikan Seni Visual di sekolah menengah bertujuan untuk
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan,
2. memupuk budaya penyelidikan dalam proses penghasilan karya seni
visual,
3. meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta
kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam
kehidupan dan kerjaya,
4. menggunakan pelbagai kemahiran, media, teknik dan teknologi untuk
mereka cipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti,
5. membuat diskripsi, analisis, interpretasi dan penilaian terhadap karya
seni visual,
6. mendapat nilai tambah dalam disiplin sains, teknologi dan mata
pelajaran lain,
7. menghargai sumbangan dan pengaruh tokoh-tokoh seni visual dalam
konteks perkembangan sejarah seni visual di Malaysia dan antarabangsa,
8. menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya,
9. menyedari dan menghargai suasana seni dalam persekitaran dan kaitan
dengan keselesaan hidup, dan
10. membina jati diri ke arah pembentukan negara bangsa.

0 comments: